Ayah.

Ada satu sosok di hadapan-ku
Termangu termenung di kerusi rotan
Pada lewat senja; dia berbicara pada kebisuan yang paling kosong

Aku tenung tajam
Pada anak matanya yang kian kelabu
Dan pada kelopaknya yang kian kuyu
--apa kau sedang bersedih?

Aku perati setiap inci
Pada kulitnya yang kian berkedut
Dan pada dahinya yang sedang berkerut
--apa kau sedang letih?

Kita tidak pernah setuju dalam semua hal
Tiap kali aku cuba mengaju tanya
Perbualan kita sering berakhir dengan amarah dan kecewa
Dan aku tak mahu terus-terus jadi penderhaka

Ayah
Bicaralah walau sepatah
Ceritakanlah setiap kisah
Bukankah kita ini sedarah?

Kebisuan ini tidak akan membawa kita kemana-mana; ayah.


Disember 18, 2013

No comments: